Berkenan berangkat ke Majlis Santap Malam Gala



Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman




 ​

KUALA LUMPUR, Isnin, 27 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Santap Malam Gala, malam tadi, bagi meraikan kehadiran Ketua-ketua Negara dan Kerajaan ASEAN, Pemimpin-pemimpin Negara Rakan Dialog, Tetamu-tetamu Pengerusi, dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, yang dihoskan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN dan isteri, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.​

Sejurus keberangkatan tiba di Kuala Lumpur Convention Centre, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dialu-alukan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia dan isteri. Majlis ini juga diserikan dengan persembahan kebudayaan.


Close